Operasi PGA Sibu berjaya kesan penyelewengan minyak diesel
KPDN Sita 16 Ribu Liter Diesel Bersubsidi Bernilai RM34,400 Di Bintangor. Aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar melalui satu serbuan yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu di sebuah rumah di daerah ini, semalam.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 16,000 liter diesel bernilai RM34,400 telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sarikei untuk tindakan lanjut.
![KPDN Sita 16 Ribu Liter Diesel Bersubsidi Bernilai RM34,400 Di Bintangor](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/image-29-1024x768.png)
Ketua Cawangan KPDN Sarikei, Mohamad Zawawi, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata bahawa selain diesel, turut dirampas ialah sebuah lori tangki, sebuah kenderaan pacuan empat roda, 18 unit tangki IBC, dan pam elektrik. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM119,980.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki barangan kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan,” kata Zawawi.
Beliau menjelaskan bahawa jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.
“Bagi individu, denda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya, dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.
KPDN memberi amaran keras dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
“Sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh disalurkan melalui nombor telefon 019-848 8000 / 019-279 431, Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-80, dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN,” kata Zawawi lagi.