Bakal mengeluarkan tenaga 158 megawat daripada projek solar terapung
Batang Ai Jadi Pusat Pertama di Malaysia Hasilkan Tenaga Elektrik Daripada Hidro dan Solar. Empangan hidroelektrik Batang Ai di Sarawak dijangka akan menghasilkan tenaga sebanyak 158 megawatt apabila projek solar terapung di situ siap sepenuhnya, menurut kenyataan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak. Beliau mengumumkan bahawa sehingga kini, projek tersebut telah mencapai kemajuan sebanyak 30 peratus dan dijangka akan siap tidak lama lagi.
“Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang menjalankan projek yang penting dan strategik untuk menambah tenaga boleh diperbaharui melalui solar terapung. Projek ini dijangka akan siap dalam tempoh terdekat dan kini mencapai 30 peratus siap. Ini bermakna bahawa apabila siap, pengeluaran tenaga daripada solar terapung ini akan mencapai 50 megawatt,” katanya kepada media selepas lawatan kerja ke tapak Solar Terapung di Batang Ai, Sri Aman.
Beliau menambah bahawa semasa ini, Empangan Hidro Batang Ai menghasilkan 108 megawatt tenaga, dan dengan tambahan 50 megawatt daripada solar terapung, keseluruhan pengeluaran tenaga akan meningkat kepada 158 megawatt dari hidro dan solar.
Abang Johari turut menyatakan bahawa projek solar terapung ini melibatkan kawasan seluas 86 hektar, iaitu kira-kira 2 peratus daripada keseluruhan keluasan empangan Batang Ai yang mencapai 8,500 hektar.
“Ini merupakan salah satu kawasan pertama di Malaysia yang mengintegrasikan penghasilan tenaga hidro dan solar. Saya mengucapkan tahniah kepada SEB dari CEO sehingga kakitangan atas usaha gigih mereka dalam projek ini,” tambah beliau.
Beliau juga berkongsi perkiraannya tentang potensi lanjutan projek solar terapung ini dengan menggunakan lebih banyak kawasan empangan Batang Ai.
“Saya telah mengkaji bahawa jika kita menggunakan 60 peratus daripada keluasan 8,500 hektar empangan ini untuk solar, kita berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 megawatt tenaga. Saya telah bercakap dengan SEB untuk merancang supaya kita dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga sehingga 2,000 megawatt atau 2 gigawatt melalui pelaburan, sama ada dari syarikat tempatan mahupun asing,” jelasnya.
Menurut Abang Johari, usaha ini akan membolehkan Sarawak memiliki lebih kurang 2,500 megawatt tenaga hijau hanya dari Batang Ai sahaja.
“SEB akan membuat kajian terperinci mengenai cadangan ini dan teknologi penyimpanan tenaga juga akan ditingkatkan untuk memastikan pembangunan tenaga yang holistik di Batang Ai,” katanya.