Kes Penggubahan Wang Haram di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak
Bekas Pegawai Kewangan Jabatan Kebajikan Sarawak Didakwa Pecah Amanah Melibatkan RM15 Juta. Bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menafikan 31 pertuduhan penggubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan lebih RM15 juta di Mahkamah Sesyen sini hari ini.
Menurut laporan media, Mohd Zairull Arzuan @ Ang Chui Thong, 38 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut di prosiding berasingan di hadapan Hakim Iris Awen Jon, Afidah Abdul Rahman, Musli Ab Hamid dan Saiful Bahari Adzmi.
![Bekas Pegawai Kewangan Jabatan Kebajikan Sarawak Didakwa Pecah Amanah Melibatkan RM15 Juta](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/03/031001muka10_BHfield_image_socialmedia.var_1633230038-1024x538.jpg)
Diikat jamin berjumlah RM365,000
Walau bagaimanapun, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM365,000 dengan dua penjamin tempatan, dan menetapkan pengurusan kes pada 10 Mei 2024.
31 pertuduhan penggubahan wang haram tertakluk di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.
3 pertuduhan pecah amanah jenayah yang dilakukan
Difahamkan, Mohd Zairull didakwa melakukan kesalahan melibatkan jumlah RM4,734,221.13 antara tahun 2020 dan 2022.
Bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah yang tertakluk di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, beliau didakwa melakukan pecah amanah melibatkan jumlah RM10,272,350.13 antara tahun 2019 dan 2021.
Dimaklumkan bahawa Mohd Zairull, selaku pegawai yang bertanggungjawab terhadap simulasi gaji di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, telah mengemukakan surat peletakan jawatan berkuat kuasa 31 Januari 2022 tetapi kemudiannya telah memendekkan tempoh notis kepada 31 Disember 2021.
Kes dikendalikan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din dan Mohd Ashrof Kamarul, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Christopher Bada.