in

Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu

Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu
17.2K Shares

Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu

Perayaan Tadau Kaamatan adalah amalan secara tradisi kaum Kadazan Dusun sejak zaman berzaman yang biasanya diadakan selepas selesai menuai padi.

Pesta Kaamatan merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambarayon” iaitu semangat padi.

Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu

Pesta Kaamatan yang kita rayakan dewasa ini telaah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi.

Allahyaraham Fuad Stephens, bekas Ketua Menteri Sabah yang pertama ialah individu yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum.\

Asal Usul Tadau Kaamatan

Menurut cerita lisan, Kinorohingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun.

Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazan Dusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinorohingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun.

Huminodun dikorbankan dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada masyarakat Kadazan Dusun sekarang.

Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama “Bambarayon”.

Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan (Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan hari ini.

Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi iaitu padi-padi yang telah selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam Ketawai (Tangkob) iaitu bekas tempat menyimpan padi.

Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazan Dusun kepada Penciptanya (Kinorohingan) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya, Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Permulaan Sambutan Pesta Kaamatan

Pada 30 Jun 1960, buat pertama kalinya Pesta Menuai diadakan secara rasmi. Majlis sambutan diadakan di Sekolah St Michael Penampang. Antara acara yang diadakan semasa sambutan perayaan Pesta Menuai itu termasuklah sembahyang kesyukuran di Gereja St Michael, Penampang pada sebelah paginya, diikuti perarakan berjalan kaki, mengelilingi kampung dengan diiringi sekumpulan belia dan beliawanis berpakaian tradisi kebudayaan Kadazan.

Selepas itu, barulah acara sambutan dimulakan. Antara acara yang dijalankan semasa sambutan itu termasuklah pertandingan memukul gong yang disertai 12 buah kampung. Beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan sebagai tanda sambutan perayaan. Pertandingan nyanyian turut diadakan, sementara jamuan makan tengah hari disediakan untuk tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Kerajaan dan isterinya, pegawai-pegawai kerajaan dari Api-Api atau Jesselton serta orang kenamaan kerajaan koloni dan masyarakat dari kaum Cina.

Di sebelah petangnya, diadakan persembahan tarian kebudayaan,pertandingan ratu cantik, pertandingan pakaian beragam bagi orang tua dan pertandingan bina badan untuk belia Kadazan. Perlawanan bola sepak dan tayangan wayang gambar percuma juga turut diadakan di padang sekolah. Cabutan tiket loteri untuk membantu pembinaan sekolah mission di Penampang juga diadakan.

Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu

Sambutan yang sama juga diadakan di tempat lain di Sabah sebagai tanda kegembiraan mereka kerana diberikan cuti umum untuk menyambut perayaan tradisional mereka. Orang Dusun dari Menggatal, Inanam, Telipok, Tamparuli,Ranau serta Kadazan di Papar turut menyertai perayaan itu. Sambutan perayaan Pesta Menuai ini juga turut diadakan di tempat lain seperti di Papar, Menggatal, Sandakan, Labuan dan Menggatal.

Di Menggatal, perayaan diadakan pada 1 Julai 1960 di Pekan Menggatal. Di Sandakan, sambutan perayaan diadakan di Rumah Persatuan Kadazan Sandakan dengan mengorbankan seekor kerbau dan menyediakan sebanyak 30 buah tajau berisi tapai sebagai hidangan. Perayaan yang sama turut diadakan di Labuan dan Keningau.

Di Keningau perayaan diadakan selama dua hari. Perayaan pesta Menuai atau dalam dialek Kadazan disebut sebagai Kinasaakazan Do Bambaazon yang julung-julung kali diadakan secara rasmi dan secara besar-besaran itu disambut oleh masyarakat Kadazan dan Dusun serta Sino-Kadazan dengan penuh gilang gemilang.

Perayaan di Penampang berlangsung dengan jayanya atas usaha gigih ahli jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada Mansuet Yapp selaku Pengerusi , Liduin Mobijon sebagai Setiausaha dan Leopold Chuan sebagai bendahari. Ahli lain terdiri daripada Francis Wong, Alex Ng dan Ah Fook, Marcus Otigil, Manson, Sikopit Siganol dan belia kadazan lain di Penampang. Majlis itu bukan sahaja dihadiri orang Kadazan, tetapi oleh kaum Cina dan Melayu.

Hal ini menunjukkan sejak dahulu lagi pesta menuai telah memainkan peranan sebagai pemangkin perpaduan intraetnik dan interetnik di Sabah. Bagaimanapun, tarikh sambutan Pesta Menuai kemudian diubah kepada 30 dan 31 Mei setiap tahun mulai tahun 1985 ketika Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Ketua Menteri Sabah.

17.2K Shares

Written by iloveborneo

Kalimantan, Bakal Ibu Kota Baharu Indonesia?

Kalimantan, Bakal Ibu Kota Baharu Indonesia?

Sejarah Dan Info Menarik Mengenai Hari Gawai Dayak Di Sarawak

Sejarah Dan Info Menarik Mengenai Hari Gawai Dayak Di Sarawak