Dipercayai staf wanita itu mengumpat belakang, lalu lelaki tersebut mengamuk di dobi layan diri, Penampang Sabah
Gara-Gara Mengumpat Belakang, Lelaki Mengamuk Dan Tengking Pekerja Wanita Di Dobi Sabah. Satu insiden tular berlaku apabila seorang lelaki bertindak di luar kawalan dan mengasari seorang wanita yang bekerja di sebuah dobi layan diri di Taman Suria, Penampang, Sabah pada hari Rabu lalu.
Video daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sejak hari Ahad menunjukkan pertengkaran mulut berlaku sebelum lelaki itu bertindak ganas atau agresif.
![Gara-Gara Mengumpat Belakang, Lelaki Mengamuk Dan Tengking Pekerja Wanita Di Dobi Sabah](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/2751550.jpg)
Menerusi perkongsian video itu di laman X, lelaki memakai baju hitam dilihat memasuki dobi dengan kasar sambil membawa bakul berisi pakaian. Beliau menghempaskan bakul itu di hadapan wanita tersebut sebelum menendang bakul itu ke arah mesin basuh.
Pada masa yang sama, dua orang wanita termasuk mangsa dilihat berbual dan ketawa sambil memandang ke arah lelaki itu.
Difahamkan salah seorang daripada wanita itu mengeluarkan kata-kata yang tidak baik terhadap lelaki berkenaan, lalu mencetuskan pergaduhan. Lelaki itu kemudian menegur wanita bertudung hitam itu, menghampirinya dan menengking serta melibas baju pada mukanya beberapa kali.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet tidak menyokong tindakan ganas lelaki itu, namun ada juga yang mendakwa kata-kata kesat daripada wanita tersebut menjadi punca pergaduhan berlaku.
Menurut sumber, punca sebenar insiden masih belum dapat dipastikan dan tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak-pihak terlibat mahupun pihak berkuasa setakat ini.