Syabas buat Dr. Sirhajwan Idek
Guru Dari Keningau Ini Terima Anugerah Berprestij Sebaris Dengan Barisan Pendidik Antarabangsa. Dr. Sirhajwan Idek, seorang guru Bahasa Inggeris yang bertugas di Kolej Vokasional Keningau, Sabah, telah berjaya merangkul salah satu anugerah berprestij, “20 to Watch Award” oleh International Society for Technology in Education (ISTE). ISTE merupakan sebuah persatuan pendidikan yang berpusat di Amerika Syarikat bertujuan memajukan penggunaan teknologi dalam pendidikan melalui pendekatan latihan yang komprehensif. Pengumuman pemenang anugerah ini telah diumumkan secara rasmi pada 18 Jun 2024 di laman sesawang penganjur ISTE.
Dr. Sirhajwan telah dipilih sebagai penerima anugerah ini berikutan sumbangan cemerlangnya dalam memajukan pembelajaran secara maya untuk para pelajar dan pendidik.
![Guru Dari Keningau Ini Terima Anugerah Berprestij Sebaris Dengan Barisan Pendidik Antarabangsa](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/photo_2024-06-19_09-38-53-545x1024.jpg)
Beliau merintis program pendidikan maya yang membolehkan pelajar dan guru di Malaysia menyertai sesi latihan dan pembelajaran secara langsung melalui aplikasi seperti Google Meet dan Zoom. Program yang dikenali sebagai ‘Virtual, Remote, Live’ (VRL) ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti kelas induk, pembentangan persidangan, kelas pertukaran budaya, dan sesi sembang santai.
Melalui projek ini, Dr. Sirhajwan berjaya menghubungkan lebih dari 2000 pelajar dan guru di Malaysia dengan pendidik dan ahli akademik dari negara-negara lain, yang membantu mereka mempelajari berbagai topik dan kemahiran asas serta mempersembahkan hasil kerja mereka, dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara. Inisiatif VRL ini telah diiktiraf sebagai salah satu projek pendidikan terunggul oleh SEAMEO VOCTECH, sebuah entiti pendidikan di Brunei yang memimpin dalam pendidikan vokasional dan teknikal di rantau Asia Tenggara.
Ramai pelajar dari program tersebut berjaya mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dari sesi-sesi dalam talian, dan seterusnya memperkembangkan impak projek mereka masing-masing.
Dr. Sirhajwan meluahkan rasa gembira dengan pengiktirafan ini, yang dianggapnya sebagai penghargaan terhadap usaha beliau.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Sirhajwan atas dedikasi dan usaha berterusan beliau dalam memberi peluang pembelajaran kepada para pelajar dan pendidik dengan meneroka pelbagai kaedah inovatif. Nordin berharap agar guru-guru di kolej tersebut terus cekal dan komited dalam memberikan yang terbaik dalam mendidik generasi muda negara.
![](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/photo_2024-06-19_09-40-22-683x1024.jpg)
Sebagai penerima anugerah tersebut, Dr. Sirhajwan akan menerima plak anugerah, keahlian premium ISTE selama setahun, jemputan ke persidangan anjuran ISTE serta peluang untuk menyumbang terhadap pendidikan berasaskan teknologi melalui penulisan artikel dan sesi perkongsian. Anugerah ini bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap usaha gigih Dr. Sirhajwan tetapi juga menjadi inspirasi kepada para pendidik lain untuk terus berinovasi dalam bidang pendidikan.