Buaya 14 kaki muncul dari sarang cuba menyerang anggota polis dan kakitangan SFC.
Hampir Diserang, Polis Terpaksa Lepaskan Tembakan Ke Arah Sarang Buaya Yang Ditemui Di Taman Malihah. Dilaporkan, anggota dari Balai Polis Batu Kawa terpaksa melepaskan 4 das tembakan ke arah seekor buaya yang cuba menyerang mereka pada Khamis semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kejadian tersebut berlaku di kawasan tebing sebuah kolam terbiar di Taman Malihah, Matang sekitar jam 3.30 petang.
Beliau berkata anggota tersebut telah ditugaskan ke lokasi kejadian untuk menjaga keselamatan selepas menerima laporan penemuan sarang buaya.

Buaya berukuran 14 kaki muncul dari kolam
Menurut laporan, seekor buaya berukuran kira-kira 14 kaki muncul dari dalam kolam tersebut terus naik ke tebing dan cuba menyerang anggota terbabit.
Bagi menyelamatkan diri, tiga das tembakan dilepaskan ke arah mulut dan kepala buaya tersebut pada jarak enam kaki serta satu lagi das tembakan dilepaskan ke arah kepalanya sebelum buaya tersebut masuk semula ke dalam kolam.

Semua anggota dan kakitangan dilaporkan selamat
Semua anggota polis dan kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang menertai operasi dilaporkan selamat.
Dalam masa yang sama, Superintendan Abang Zainal juga menegaskan agar orang awam adalah dilarang untuk ke lokasi kejadian atas faktor keselamatan.
Operasi memburu buaya tersebut akan diteruskan lagi pada hari ini.