Ramai penumpang MyAirline yang terkandas di lapangan terbang
Henti Operasi Tiba-Tiba, MAVCOM Arah MyAirline Bayar ‘Refund’ Kepada Penumpang. Dalam perkembangan terbaru, MYAirline, sebuah syarikat penerbangan tempatan, telah diberi arahan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk mengambil tindakan terhadap para pengguna yang terjejas akibat penggantungan operasi penerbangan mereka.
Ini mencakupi pembayaran balik kepada pelanggan yang telah membeli tiket tetapi tidak dapat melanjutkan perjalanan mereka dengan syarikat penerbangan berkenaan.
![](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2023/10/image-83.jpg)
Sehingga notis lanjut diterima, syarikat MyAirline tidak boleh menjalankan operasi penjualan tiket sama sekali.
Menurut satu kenyataan rasmi, MYAirline telah ditugaskan untuk memberikan bantuan segera kepada pelanggan yang terjejas. Antara tindakan yang harus diambil oleh syarikat tersebut termasuklah memberi maklumat mengenai penggantungan operasi penerbangan kepada semua pelanggan yang berkenaan.
Selain itu, syarikat juga telah diarahkan oleh MAVCOM untuk segera menghentikan segala aktiviti penjualan dan tempahan tiket penerbangan melalui semua platform tempahan, sehingga pemberitahuan lanjut dikeluarkan. Ini bermakna, sehingga notis lanjut diterima, syarikat tidak boleh menjalankan operasi penjualan tiket sama sekali.
![Henti Operasi Tiba-Tiba, MAVCOM Arah MyAirline Bayar 'Refund' Kepada Penumpang](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2023/10/F8M2QppbMAAsOCh-1024x576.jpg)
![Henti Operasi Tiba-Tiba, MAVCOM Arah MyAirline Bayar 'Refund' Kepada Penumpang](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2023/10/F8MIn6bbcAABL-G.jpg)
MAVCOM juga menekankan bahawa mereka sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas MYAirline.
Siasatan ini dilakukan berdasarkan hasil dari semakan dalaman yang dilakukan oleh suruhanjaya tersebut, serta berbagai aduan yang diterima berkenaan dengan kegagalan syarikat penerbangan dalam membuat pembayaran statutori kepada pekerja-pekerjanya.
“MAVCOM akan memberikan maklumat lebih lanjut mengenai perkembangan operasi MYAirline dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan tersebut.
![Henti Operasi Tiba-Tiba, MAVCOM Arah MyAirline Bayar 'Refund' Kepada Penumpang](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2023/10/image-84-1024x621.jpg)
MYAirline dimiliki oleh usahawan ‘scammer’?
Berdasarkan sumber daripada portal perniagaan TheEdge Malaysia, syarikat MYAirline dimiliki oleh Dato’ Allan Goh Hwan Hua, yang juga merupakan pemegang saham terbesar dengan 98% pegangan.
Data SSM sebelum ini menunjukkan bahawa perunding perdagangan antarabangsa Zillion Wealth Bhd memiliki 88% kepentingan ekuiti dalam MYAirline, manakala Trillion Cove Holdings Bhd, sebuah syarikat pinjaman wang dan pembiayaan, memiliki 10% saham manakala selebihnya 2% dimiliki oleh CEO MYAirline, Rayner Teo Kheng Hock.
Mengejutkan, syarikat Zillion Wealth Sdn Bhd dan Trillion Cove Holdings Bhd ini memiliki reputasi buruk dan sejarah penggubahan wang haram dengan Dato’ Goh menjawat jawatan sebagai pengarah kedua-dua syarikat tersebut.
Pada bulan Mei tahun ini, Trillion Cove terlibat dalam kes penggubahan wang haram, di mana bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari, dituduh dengan 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.038 juta di Mahkamah Sesyen Alor Setar di Kedah. Madani telah mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan tersebut.
Sementara itu, Goh juga memiliki kaitan dengan i-Serve Online Mall Sdn Bhd, salah satu daripada tujuh syarikat yang didenda sejumlah RM50 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lalu, kerana menerima deposit tanpa lesen. BNM menyatakan bahawa siasatan mereka mendapati bahawa antara Jun 2018 dan September 2021, ketujuh-tujuh entiti itu menerima deposit daripada orang awam dan terlibat secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti pengambilan deposit haram tersebut.
Data terkini SSM menunjukkan pemilik saham MYAirline bertambah daripada 2 kepada 15 pemegang saham
Rekod terkini SSM pada 30 Ogos 2023 mendapati bahawa MYAirline kini mempunyai 15 pemegang saham, di mana lima pemegang saham teratas termasuk Goh dan Teo.
Walau bagaimanapun, pemilikan saham Zillion Wealth dalam MYAirline telah dikurangkan kepada 39.7% daripada 88% sebelum ini, manakala Trillion Cove kini memegang 25.25% saham berbanding 10% sebelum ini. Goh masih memegang saham secara langsung sebanyak 0.94% saham dalam MYAirline. Sementara itu, pemilikan saham Teo kini turun daripada 2% kepada 0.05%.
Pemegang saham lain termasuk Nawal Aeida Asarudin dengan 7.5% pemilikan, DAG Express Sdn Bhd (7.5%), Jalex Sdn Bhd (3.75%), Tee Chin Tiam (3.75%), dan Ling Ai Lee (2.81% pemilikan).
Apa-apapun, dalam situasi yang terjadi pada masa ini, pihak berkuasa seperti MAVCOM komited bersama penumpang yang terjejas dan sedang mengambil langkah-langkah tegas untuk melindungi hak pengguna dan pekerja dalam industri penerbangan. Sementara itu, pelanggan MYAirline dan pekerja yang terjejas diharapkan akan mendapatkan penyelesaian dan keadilan dalam isu ini secepat mungkin.