TDM berjaya sekat kemasukan 6 PATI Indonesia melalui lorong tikus di Kuching
Kantoi Masuk Kuching Guna Jalan Tikus, 6 PATI Indonesia Diusir Keluar Oleh TDM. Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan percubaan enam warga Indonesia untuk memasuki Malaysia melalui lorong tikus.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen menerusi satu kenyataan memaklumkan, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan oleh pasukan TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) semasa melakukan rondaan di Sektor Pos GABMA Biawak, berhampiran lorong tikus, kira-kira 118 meter dari sempadan Indonesia.
![Kantoi Masuk Kuching Guna Jalan Tikus, 6 PATI Indonesia Diusir Keluar Oleh TDM](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/2752061.jpg)
Menurut laporan, kejadian itu berlaku pada pukul 4.10 petang, Sabtu. Anggota tentera terserempak keenam-enam PATI sedang berjalan dari arah sempadan Indonesia lalu menahan dan memeriksa mereka. Siasatan mendapati mereka dalam perjalanan untuk bekerja di Malaysia.
Antara barang yang dirampas pihak berkuasa
Difahamkan tiada barang terlarang atau berbahaya dijumpai bersama mereka. Bagaimanapun, barangan seperti wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian bernilai RM10,020 dirampas.
Keenam-enam PATI dibawa ke sempadan negara untuk diusir keluar. Laporan polis dibuat di Balai Polis Lundu untuk tindakan pengusiran mengikut peraturan semasa. Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis memuji anggotanya dan berjanji TDM akan terus memperketat kawalan sempadan untuk melindungi kedaulatan negara.