Tragedi di Sandakan, kanak-kanak 9 tahun maut diserang buaya di sungai Kampung Lembaga
Keriangan Bertukar Duka, Budak 9 Tahun Maut Dibaham Buaya Semasa Mandi Sungai Di Sandakan. Seorang budak lelaki berumur 9 tahun telah diserang buaya di Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay, Sandakan, Sabah pada petang Ahad.
Menurut sumber, kanak-kanak tersebut sedang mandi di sungai, namun keriangan itu bertukar menjadi tragedi.
![Keriangan Bertukar Duka, Budak 9 Tahun Maut Dibaham Buaya Semasa Mandi Sungai Di Sandakan](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/Screenshot-2024-06-24-at-5.21.10 PM.png)
Severinus Sainkui, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, memberitahu bahawa jasad Mohd Radhi Randi telah dijumpai oleh penduduk kampung pada pukul 3.05 petang, lebih kurang 500 meter dari tempat dia mandi.
Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.16 tengah hari mengenai kejadian tersebut. Selepas itu, satu pasukan yang terdiri daripada 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan di bawah pimpinan Pegawai Bomba Kanan II, Alan Ayuh, telah bergegas ke tempat kejadian.
Video yang merakamkan detik penemuan mayat mangsa telah tersebar di media sosial. Alan memaklumkan bahawa pihak bomba telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air. Operasi SAR ini juga dibantu oleh anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).