Pemberi maklumat kepada kerajaan akan menerima ganjaran setara dengan jumlah tawaran rasuah
Laporan Dedah Lebih 500 Penjawat Awam Terima Ganjaran RM1 Juta Dalam Kes Rasuah. Sebanyak 514 penjawat awam telah menerima ganjaran melebihi RM1 juta antara tahun 2012 hingga 2023 kerana mendedahkan serta melaporkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan, menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau menyatakan bahawa pemberi maklumat kepada kerajaan akan menerima ganjaran setara dengan jumlah tawaran rasuah kerana sumbangan mereka dalam membanteras kegiatan rasuah.
![Laporan Dedah Lebih 500 Penjawat Awam Terima Ganjaran RM1 Juta Dalam Kes Rasuah](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/IMG_0038.jpeg)
Laporan Dedah Lebih 500 Penjawat Awam Terima Ganjaran RM1 Juta Dalam Kes Rasuah
“Ia ringgit untuk ringgit, jika anda ditawarkan RM100, kerajaan akan memberi anda RM100. Jika anda ditawarkan RM1 juta, kerajaan akan mengembalikan RM1 juta kepada anda,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program audio siar Beyond the Headlines yang dikendalikan oleh New Straits Times (NST), lapor Berita Harian.
Di bawah Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024-2028 yang diumumkan pada Mei lalu, Azam menyatakan bahawa skim yang sama boleh diperluaskan kepada masyarakat umum namun ia masih di peringkat cadangan.
“Perkara itu masih dalam cadangan, prosedur khusus dan optimum bersama agensi peneraju masih belum diputuskan. Itu di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Pertama sekali, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu diperbaharui dan kami bersetuju, BHEUU kini sedang dalam proses meminda undang-undang,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa SPRM adalah satu-satunya agensi penguatkuasa yang menggunakan sepenuhnya undang-undang tersebut dan sejak tujuh tahun lalu, telah mempromosikannya kepada orang ramai bahawa mereka harus menjadi pemberi maklumat.
“Terdapat tiga kategori yang tampil ke SPRM, iaitu pengadu, pemberi maklumat dan informan. Pengadu sebagai contoh, perlu ke mahkamah, namun saya boleh katakan kurang daripada lima peratus mereka yang tampil ingin membuat aduan bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah.
“Bagi pemberi maklumat dan informan, identiti mereka dilindungi dengan baik. Sekarang, BHEUU ingin memberi ganjaran kepada mereka dan saya fikir ia idea yang baik, boleh menggalakkan lebih ramai tampil membuat aduan, terutama kepada SPRM,” katanya.