Operasi SAR telah pun dijalankan bagi mengesan mangsa
Lelaki Hilang Dikhuatiri Dibaham Buaya Gergasi Ketika Menangkap Ikan Di Sri Aman. Seorang lelaki berusia 32 tahun dilaporkan menjadi mangsa sambaran seekor buaya gergasi semasa beliau sedang menangkap ikan di tebing sungai Semeruang, Bangkong, kira-kira jam 5 petang semalam (Isnin).
Jurucakap Pusat Gerakan Bomba Sarawak mengesahkan bahawa insiden tersebut dilaporkan oleh tiga rakan yang turut bersama mangsa ketika aktiviti menangkap ikan di lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku ketika seorang lelaki bersama tiga rakan sedang menangkap ikan di tebing sungai pada jam 5 petang. Jarak dari rumah panjang ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 40 minit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Berikutan insiden tersebut, satu operasi khas mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan melibatkan tiga kumpulan dalam usaha mencari mangsa, bermula seawal jam 9 pagi hari ini.
Komander Operasi, yang juga Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman PPgB Muhammad Adam Amran menyatakan bahawa lapan anggota daripada BBP Sri Aman turut terlibat dalam operasi tersebut.
“Operasi SAR ini juga melibatkan tiga anggota polis, lima anggota APM, dan kira-kira 20 orang warga kampung,” katanya.