Padah penggal kepala kucing dengan pisau pemotong daging
Penganggur Dari Bau Dipenjara 3 Tahun, Penggal Kepala Kucing Dan Ugut Bunuh Ibu. Mahkamah Sesyen Kuching hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang lelaki tempatan kerana sengaja memenggal kepala kucing untuk mengugut membunuh ibunya.
Jefrie Drahman, 33, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
![Penganggur Dari Bau Dipenjara 3 Tahun, Penggal Kepala Kucing Dan Ugut Bunuh Ibu](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/image-94-1024x768.png)
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja memenggal kepala seekor kucing betina menggunakan pisau pemotong daging tanpa sebab munasabah.
Dia didakwa di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bunuh ibunya yang berusia 70 tahun.
Jefrie melakukan kedua-dua kesalahan itu di rumah mereka di Jalan Tanjong Durian, Kampung Keranji, Bau, sekitar jam 12.40 tengah hari pada 15 Mei lalu.
Hakim Musli menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara tiga tahun bagi pertuduhan kedua terhadap Jefrie.
Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 15 Mei lalu.
Mengikut fakta kes, Jefrie bertindak memenggal kepala kucing milik bapa saudaranya kerana tidak berpuas hati dengan ibunya yang menyuruh dia mencari pekerjaan.
Dia juga menunjukkan kepala kucing yang dipenggal kepada ibunya sambil mengugut akan membunuh ibunya seperti kucing tersebut.
Bimbang akan keselamatan dirinya, ibu Jefrie membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, ujian saringan air kencing Jefrie menunjukkan positif dadah.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi, manakala Pegawai Penyiasat Sarjan Mohammad Asfia Ilias menyiasat kes tersebut. Jefrie tidak diwakili peguam.