Masalah air masih belum selesai meskipun telah menerima dana RM3 juta
Mahasiswa UMS Terpaksa Mohon Maaf Kepada Menteri KPT Kerana Tak Mandi. Semasa lawatan kerja pertama Menteri Pendidikan Tinggi baharu, Datuk Seri Zambry Abd Kadir ke UMS semalam, beliau disambut dengan lagu memohon maaf daripada mahasiswa kerana mereka belum mandi sewaktu kunjungan beliau akibat tiada air.
Mahasiswa juga memegang plakad bertulis ‘Kembalikan Hak Kami’ dan ‘Madani Untuk Siapa?’ bagi meluahkan masalah bekalan air.
Pada Mei tahun lepas, sewaktu lawatan Anwar ke UMS, beliau mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk menyelesaikan masalah air di UMS.
Anwar mahu laporan terperinci isu bekalan air di UMS
Susulan kejadian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) masih belum selesai, walaupun kerajaan telah meluluskan peruntukan RM3 juta tahun lepas untuk mengatasi masalah itu.
Menurut sumber, beliau menyatakan kebimbangan dan mahu mendapatkan laporan terperinci mengenai perkara ini.
![Mahasiswa UMS Terpaksa Mohon Maaf Kepada Menteri KPT Kerana Tak Mandi](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/01/air-ums.jpg)
“Saya baca di media sosial, Menteri Pendidikan Tinggi telah disambut oleh mahasiswa UMS yang belum mandi kerana tiada air.
“Tahun lepas, sewaktu saya melawat, saya dengar aduan mahasiswa, lalu saya meluluskan RM3 juta. Jadi saya hairan, mungkin projek itu masih dalam proses.
“Saya mahu laporan teliti mengenai apa yang berlaku kepada peruntukan untuk menyelesaikan masalah air di UMS yang diluluskan oleh Menteri Kewangan,” tambah Anwar lagi menerusi laporan.