Pengeluaran tunai mencurigakan, ‘orang dalam’ bank ditahan subahat keluar RM24.2 juta dari akaun simpanan pelanggan
Pekerja Bank Di Kota Kinabalu Ditahan Selepas RM24 Juta Lesap Dalam Akaun Simpanan. Polis telah menahan seorang kakitangan bank berusia 38 tahun di Kota Kinabalu, Sabah, selepas sejumlah RM24.2 juta hilang daripada beberapa akaun simpanan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Yoosuf berkata, mereka menerima empat laporan di Petaling Jaya, Selangor, pada awal Jun mengenai kerugian berjumlah RM24.2 juta.
![Pekerja Bank Di Kota Kinabalu Ditahan Selepas RM24 Juta Lesap Dalam Akaun Simpanan](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/hiasan-money_1701413954-1024x583.webp)
Pengadu menafikan pengeluaran di KK, dan kakitangan bank didakwa membuat pengeluaran tersebut
Pengadu yang terdiri daripada pemegang akaun dan kakitangan bank melaporkan pengeluaran tunai yang mencurigakan dibuat di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan dengan bank itu.
Pemilik akaun menafikan pengetahuan mengenai perkara itu dan berkata mereka tidak pernah ke Kota Kinabalu untuk membuat pengeluaran.
Pada 13 Jun, suspek berusia 38 tahun ditahan di Kota Kinabalu. Siasatan mendedahkan terdapat sindiket yang terlibat dengan anggotanya yang bekerja dengan pihak bank kerana pengeluaran hanya boleh dilakukan secara dalaman.
![](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/diathan_1-1024x536.jpg)
Antara barang yang dirampas
Menurut laporan, pihak polis merampas tiga telefon bimbit, lapan kad ATM pelbagai bank, wang tunai sebanyak RM4,400, dan sebuah komputer riba.
Siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap beberapa individu lain yang terlibat. Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebatan dan denda.