Penipuan RM13,750 menerusi tawaran tugas di YouTube
Pelajar Di Sibu Rugi RM13K Akibat Penipuan Tawaran Kerja Sambilan Dalam YouTube. Seorang pelajar wanita dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Sibu kehilangan RM13,750 selepas tertipu dengan tawaran pekerjaan sambilan dalam talian.
Menurut laporan, mangsa mendakwa beliau menerima tawaran untuk mendapat pendapatan tambahan melalui tugasan di YouTube selepas dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘Millennium Portfolios Event A13’ oleh individu bernama Ho Siew Ming.
Mangsa berkongsi maklumat peribadi dan akaun Touch N Go untuk tujuan pendokumenan dan pengesahan sebelum suspek mengarahkannya untuk mengklik pautan yang diberikan bagi melengkapkan tugas yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, dalam kenyataan semalam, berkata mangsa juga diminta untuk melanggan Nike & Adidas dan dijanjikan keuntungan RM100.
Suspek turut memberitahu mangsa bahawa untuk mendapat RM40,000, beliau perlu melengkapkan tugas lain dengan mendepositkan RM20,000.
“Mangsa kemudian mendepositkan wang berjumlah RM13,750 dalam lima transaksi kepada empat akaun berbeza. Namun, sehingga laporan dibuat, beliau tidak menerima keuntungan dan komisen yang dijanjikan,” tambahnya.
Nasihat pihak polis kepada orang ramai untuk sentiasa berhati-hati
Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk penipuan. Zulkifli menggesa orang ramai untuk menyemak dengan syarikat atau agensi berkenaan sebelum memohon atau menerima apa-apa tawaran pekerjaan yang meragukan.
Mereka yang memerlukan nasihat atau maklumat lanjut boleh merujuk kepada Pusat Respons Penipuan Negara (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP atau @JSJKPDRM.
Bahkan, mereka juga boleh melayari http://ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk mengesahkan akaun dan nombor telefon yang mencurigakan.