Tindakan menganjurkan tunjuk perasaan tanpa kebenaran dibantah
Rosakkan Reputasi Universiti, Pelajar UMS Dilarang Menganjur Protes Bekalan Air. Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengecam tindakan sekumpulan pelajar yang cuba menggembleng rakan pelajar dan orang awam untuk menyertai tunjuk perasaan mengenai isu bekalan air yang bermasalah di universiti itu pada 14 Jun.
Bagaimanapun, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor menggesa pelajar dan orang ramai agar tidak menyertai tunjuk perasaan tersebut bagi mengelakkan gangguan ketenteraman awam.
Beliau menyatakan bahawa kumpulan pelajar itu sepatutnya membatalkan kempen tunjuk perasaan supaya pelajar lain dapat menumpukan perhatian kepada pengajian.
“UMS pada asasnya tidak membenarkan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kesusahan atau mengganggu ketenteraman awam. Kami tidak pernah menggalakkan para pelajar menganjurkan tunjuk perasaan atau aktiviti awam tanpa kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Universiti percaya sebarang isu perlu diselesaikan melalui saluran dan prosedur yang betul, bukan dengan tindakan terburu-buru,” kata beliau menurut laporan.
Ini berikutan kempen tunjuk perasaan #KamiMahuAir Sabah baru-baru ini yang dijadualkan pada 14 Jun di hadapan Menara Kinabalu, melalui laman Facebook Suara Mahasiswa UMS.
Tindakan mengajak orang ramai turut sertai boleh rosakkan reputasi universiti
Kasim berkata, tindakan pelajar menggalakkan orang lain menyertai tunjuk perasaan itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam malah boleh merosakkan reputasi universiti.
“Pelajar juga dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan ajakan menyertai tunjuk perasaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, tiada keperluan bagi pelajar UMS untuk menunjuk perasaan berkaitan isu bekalan air memandangkan isu ini sentiasa dipantau oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang kerap melawat UMS untuk memeriksa kemajuan projek bekalan air bagi memastikan bekalan yang mencukupi di kampus.