Perut Bumi Sarawak Simpan Mineral Bernilai Lebih RM1 Trilion. Sarawak telah dikenalpasti memiliki pelbagai bahan mineral berharga yang dianggarkan bernilai RM1.25 trilion, menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau menyatakan bahawa anggaran nilai bahan mineral yang tinggi ini memberikan Sarawak berpotensi besar untuk melabur dalam industri perlombongan, yang boleh memberikan pulangan ekonomi yang berlipat ganda.
![Perut Bumi Sarawak Simpan Mineral Bernilai Lebih RM1 Trilion](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/image-90-1024x538.png)
Antara bahan mineral berharga yang dikenal pasti termasuk emas, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), pasir silika berkualiti tinggi dan bauksit.
“Berdasarkan laporan daripada Jabatan Mineral dan Geosains, perut bumi Sarawak mengandungi simpanan bahan mineral berharga dengan nilai yang besar.
“Oleh itu, sektor perlombongan mineral menjadi salah satu fokus dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), namun sektor ini belum dibangunkan sepenuhnya dan kajian terperinci masih dijalankan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Korban 2024 di Surau Wakaf, Taman Indah, Bandar Baru Samariang, di sini, hari ini.
Awang Tengah juga menyatakan bahawa Sarawak kaya dengan emas, terutamanya di Bau dan beberapa kawasan di Sri Aman.
“Perlombongan emas di Bau telah bermula sejak tahun 1800 tetapi dihentikan pada tahun 1997.
“Namun kini, terdapat syarikat dari Kanada yang mengesahkan bahawa masih banyak emas di perut bumi Bau,” ujarnya.
![Perut Bumi Sarawak Simpan Mineral Bernilai Lebih RM1 Trilion](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/image-91.png)
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan lawatan ke Kanada minggu lalu untuk melihat dan mempelajari kaedah negara tersebut dalam membangunkan sektor perlombongan.
Menurutnya, sektor perlombongan merupakan sektor ekonomi yang besar di Kanada, menyumbang tidak kurang daripada 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu, menyediakan banyak peluang pekerjaan dan memberi impak kepada sosial ekonomi masyarakat.
“Mereka (Kanada) bukan sahaja terlibat di peringkat ‘upstream’ dan ‘midstream’, malah sangat berjaya di peringkat ‘downstream’.
“Itulah yang kita hendak pelajari, iaitu pertama sekali kita hendak melihat dari segi undang-undang berkaitan sektor perlombongan, bagaimana ia dilaksanakan mengikut dasar untuk membangunkan sektor mineral di Kanada,” jelasnya.
Selain itu, beliau menyatakan lawatan tersebut juga bertujuan meneliti pengurusan dan operasi, amalan teknologi mereka yang canggih serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor perlombongan di Kanada.