Peningkatan rangkaian penerbangan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak
Tarik Pelancong Ke Sarawak, Xiamen Airlines Mungkin Buka Laluan Penerbangan Baharu Fuzhou-Sibu. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Dato Sri Tiong King Sing memaklumkan bahawa Xiamen Airlines sedang menjalankan kajian kemungkinan penerbangan terus dari Fuzhou, China ke Sibu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini mengenai perkara tersebut.
![Tarik Pelancong Ke Sarawak, Xiamen Airlines Mungkin Buka Laluan Penerbangan Baharu Fuzhou-Sibu](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/unnamed.jpg)
China ke Kuching sudah ada, kali ini bercadang untuk penerbangan China ke Sibu, termasuk Bintulu
“Kami mahukan lebih banyak rangkaian penerbangan ke negara kita, terutamanya ke Sarawak. Saya telah meminta Xiamen Airlines untuk menerbangkan penerbangan terus ke Sibu. Sudah ada penerbangan terus dari China ke Kuching tetapi saya minta mereka untuk terbang terus ke Sibu, termasuk Bintulu.
“Saya minta Xiamen Airlines untuk membantu kerana jika laluan itu dilaksanakan, mereka akan terbang dari Fuzhou ke Sibu, yang mempunyai ramai penduduk Foochow. Mereka telah datang untuk menjalankan kajian kemungkinan penerbangan sedemikian tetapi belum disahkan lagi. Saya mencadangkan kepada mereka, mungkin menggunakan pesawat Airbus 320 atau 737-900,” kata Tiong, menurut laporan.
Menggalakkan kerjasama untuk menarik pelancong ke kawasan masing-masing
Tiong menggalakkan rakyat Sarawak untuk bekerjasama menarik pelancong ke kawasan masing-masing dan menekankan kepentingan menawarkan hidangan tradisional kepada pelancong kerana mereka mahu mengalami budaya dan mencuba makanan pelbagai kaum.
“Jadi, mari kita bekerjasama untuk membangunkan ekonomi kawasan kita masing-masing,” katanya.