Tindakan pelik pasangan disyaki kekasih korek tanah di kawasan lapang bawa kepada penemuan janin di Kota Kinabalu
Tingkah Laku Mencurigakan, Pasangan Kekasih Kantoi Tanam Janin Di Sabah. Tiga gadis remaja telah menemui sesuatu yang mengejutkan di kawasan lapang berhampiran Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada hari Rabu.
Menurut sumber, penemuan ini berlaku selepas mereka melihat tingkah laku mencurigakan dua orang yang tidak dikenali di kawasan tersebut.
Lelaki dan perempuan disyaki menanam janin pada pukul 8 malam
Salah seorang remaja itu mendakwa telah nampak seorang lelaki dan seorang perempuan yang membawa beg dan penyodok tanah di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 8 malam hari Selasa. Ketika itu, dia dan dua rakannya berada di bilik sewa mereka di tingkat atas, tetapi tidak dapat memeriksa keadaan kerana hujan.
![Tingkah Laku Mencurigakan, Pasangan Kekasih Kantoi Tanam Janin Di Sabah](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/06/2759021-1024x768.jpeg)
Keesokan harinya, didorong oleh rasa ingin tahu, mereka pergi ke kawasan lapang tersebut dan mendapati ada kesan tanah yang digali. Mereka pun menggali semula tanah itu dan terkejut apabila menemui satu bungkusan kain yang mengandungi janin. Mereka segera membuat laporan polis.
Pihak polis sedang membuat siasatan tentang perkara tersebut
Asisten Komisioner Kasim Muda, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, mengesahkan penemuan janin tersebut. Beliau memaklumkan bahawa satu pasukan polis, termasuk Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, telah dihantar ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.
Janin yang ditemui itu telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk pemeriksaan selanjutnya. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran.