Takziah diucapkan buat keluarga mangsa
Wanita Maut Disyaki Terjatuh Dari Apartment Di Penampang. Seorang wanita warga tempatan ditemukan maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat empat sebuah apartment di Jalan Bundusan, petang semalam.
Mangsa berusia 24 tahun itu ditemukan terbaring oleh orang awam kira-kira jam 4 petang, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
![](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/05/image-123.png)
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa seorang wanita tempatan ditemukan terbaring dipercayai terjatuh dari tingkat empat apartment berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Erwansyah menasihatkan orang awam supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.